Jagoi Babang serlah jati diri Dayak lestari warisan tradisi
RUMAH Adat Dayak di puncak bukit. |
Oleh
HENRY BATING
GAWAI
Bidayuh Jagoi di Kabupaten Bengkayang, Kalimantan Barat bukan sekadar
kesyukuran hasil tuaian. Gawai di Jagoi Babang bersempadan Sarawak ini
merangkumi realisasi falsafah hidup berbangsa, bernegara dan berpedoman kepada
Tuhan Yang Maha Esa.
Festival
tradisi Kalimantan, Indonesia itu telah menyerlahkan kepada rombongan dari
Brunei, Sabah dan Sarawak tentang makna Gawai kepada masyarakat Dayak di
Kalimantan khususnya.
Dr
Kristianus Atok bagi pihak urus setia penganjur telah menjadi pengiring utama
tetamu dari luar melibatkan Dr Yabit Alas (Brunei), Dr Patricia Ganing dan
artis Iban Clemence Joy (Sarawak) serta Dr Rosliah Kiting (Sabah).
DARI kiri Yabit, Clemence, Patricia, Rosliah dan pengiring di Jagoi Babang, Kalimantan Barat. |
Perayaan
yang berasaskan upacara ritual itu bertujuan untuk memohon kepada Jubata
(Tuhan) bagi mengobarkan semangat cinta negeri, menghindari semangat cinta
diri, menjauhkan bencana dan memberi damai abadi.
Masyarakat
Dayak percaya, Jubata bersemadi di Gunung Bawang (Kalimantan). Melalui upacara
itu, masyarakat Dayak diseru berjuang membangun negara dan bersatu meski
beraneka budaya.
Perjuangan
membangun dan bersatu hendaklah berasaskan prinsip Adil ka Talino, Bacuramin
Kasaruga dan Basengat ka Jubata. Prinsip itu bererti adil kepada sesama manusia
dan berpedoman terhadap syurga kerana kehidupan itu berasal dari Tuhan.
Festival
itu dihadiri kira-kira seribu orang dari pelbagai pelosok Indonesia termasuk
tetamu dari Brunei, Sabah dan Sarawak.
Tetamu
disambut tarian ‘Salingan Bidingan’ yang dipersembahkan sekumpulan kanak-kanak.
Persembahan ini mengisahkan persahabatan alam kanak-kanak yang ada kalanya
dilanda perselisihan namun tetap bersahabat dengan akrab.
Tetamu
dari Malaysia mengambil jalur perjalanan darat dari Kuching ke Pontianak,
Kalimantan Barat. Perjalanan menaiki bas itu mengambil masa sembilan jam.
BALIAN membuat ritual persembahan sajian. |
Meski
menempuh perjalanan seharian, pengembaraan itu terasa berbaloi kerana
pemandangan sepanjang jalan memperlihatkan penempatan penduduk yang memiliki
tarikan tersendiri.
Sesampai
di Hotel Dangau Pontianak, rombongan disambut urus setia. Perjalanan diteruskan
ke Bengkayang dengan menaiki kereta yang kemudian mengambil masa sehingga lima
jam.
Seawal
7.00 pagi keesokan harinya, rombongan bertolak dari Bengkayang untuk menyertai sambutan
Gawai Bidayuh Jagoi di Jagoi Babang. Perjalanan menaiki kereta khas penganjur
mengambil masa tiga jam.
Dalam
perjalanan, rombongan singgah di Kantor Kabupaten Jagoi untuk menikmati minuman
ringan. Festival itu dirasmikan Bupati Bengkayang, Suryadman Gidot. Dalam
ucapan perasmiannya, Suryadman menyeru agar seluruh masyarakat Dayak di
pelbagai pelosok bersatu untuk mencapai tujuan demi kebaikan bersama.
Setibanya
di lokasi Gawai Bidayuh Jagoi, rombongan disambut pisian (mantera) oleh balian
(Bobolian). Rombongan kemudian diiringi mendaki tapak seribu.
Pendakian
itu berhenti di pertengahan untuk berehat seketika. Kemudian pendakian
diteruskan sehingga mencapai puncak bukit. Di puncak itu rombongan disambut
dengan tarian tradisi.
MENITI tapak seribu ke rumah adat. |
Rombongan
kemudian dipersilakan duduk. Upacara pisian dilakukan untuk memohon kepada Yang
Maha Kuasa melindungi pelaksanaan Gawai Bidayuh itu.
Ritual
pisian itu juga menyeru nenek moyang yang merupakan tokoh untuk turun melihat
sajian yang dipersembahkan ahli-ahli balian. Permohonan itu bertujuan
mendapatkan restu adakah sajian itu layak dipersembahkan kepada Yang Maha
Kuasa. Sajian itu dibawa melalui persembahan tarian ‘Sigal Taat Sadi’.
Rosliah
menyifatkan sambutan itu memaparkan permuafakatan kental masyarakat Dayak untuk
membangun kesejahteraan dan meningkatkan daya saing daerah.
“Masyarakat
luar dapat melihat betapa masyarakat Dayak prihatin terhadap kepentingan
memelihara warisan budaya di samping mengejar kejayaan untuk kelangsungan hidup
dalam era globalisasi. Sambutan ini juga dapat mendokumentasikan bahasa dan
budaya Dayak untuk warisan generasi mendatang,” katanya.
Patricia
mendapati perayaan itu pada keseluruhannya mendedahkan keunikan budaya etnik
Dayak Bidayuh Jagoi.
“Usaha
ini merupakan langkah terbaik melestarikan warisan budaya. Sebagai generasi
Dayak Iban, sambutan ini telah memberi kesedaran untuk saya ikut terlibat
memelihara dan mempertahankan khazanah agung bangsa,” katanya.
RITUAL Balian untuk mohon kesejahteraan hidup manusia. |
No comments:
Post a Comment