Friday 28 July 2017

Warisan minta Yahya Hussin beritahu penoreh bagaimana LIGS untung

Sejak bila Lembaga Industri Getah Sabah telah menjadi agensi yang berorientasikan keuntungan?

Parti Warisan Sabah meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Yahya Hussin diminta menjelaskan kepada rakyat Sabah, terutama penoreh getah tempatan bagaimana Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah mendapat keuntungan lebih RM100 juta dalam tahun 2016.
YB JUNZ WONG

Mengikut laporan akhbar tempatan baru-baru ini, Datuk Yahya telah mengumumkan bahawa LIGS telah mendapat keuntungan lebih RM100 juta dalam tahun 2016.

Ini merupakan suatu pencapaian bagi sebuah agensi kerajaan yang berperanan utama sebagai fasilitator untuk membantu penoreh getah dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Sejak bila lagi LIGS telah menjadi sebuah agensi yang berorientasikan keuntungan?
Pengumuman Datuk Yahya memberi gambaran bahawa LIGS telah tidak membayar harga yang berpatutan kepada pekebun kecil getah yang miskin di Sabah.

Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, saya mencabar Datuk Yahya dan LIGS untuk memberitahu orang ramai tentang perkara berikut:

YB JUNZ WONG
1. Bagaimana LIGS merumuskan nilai harga ladang bahan mentah getah seperti getah keping tidak diasap dan kentalan, dll. ?

2. Bagaimanakah LIGS menentukan Kandungan Getah Kering (DRC) bahan mentah getah ini dan menentukan harga setiap gred getah, seperti Kepingan Gred 1 dan 2 dan juga Kentalan Gred 1 dan 2 ?

Di Sabah, pekebun kecil getah menghasilkan getah mereka mengikut spesifikasi LIGS dan akan dibayar harga yang ditetapkan oleh LIGS.

Di Semenanjung Malaysia, pekebun kecil getah menjual hasil mereka dalam bentuk kentalan yang dikutip setiap hari, di mana DRC ditetapkan pada 50%.
Kedua-dua pengiraan adalah berdasar kepada harga pasaran antarabangsa untuk SMR 20.

Oleh itu sangat penting bagi LIGS untuk menjelaskan kepada penoreh getah di Sabah bagaimana peratus (%) DRC bagi bahan mentah getah ditentukan supaya penoreh getah Sabah dapat menilai sama ada harga LIGS adalah adil.

Sebagai contoh, apakah peratusan (%) DRC yang ditentukan untuk Kepingan yang kurang daripada 0.5 inci tebal dan dikeringkan dengan udara selama 7 hingga 10 hari mengikut spesifikasi LIGS?

Bagaimana LIGS menetukan DRC untuk bahan-bahan seperti spesifikasi ini?
Para pekebun kecil getah merupakan wira yang tidak dikenali dalam industri getah di Sabah, menyumbang hampir 90% daripada jumlah getah yang dihasilkan di negeri ini.

LIGS sebagai agensi di bawah bidang kuasa kerajaan Sabah mesti menumpukan kepada tanggungjawab teras untuk menjaga kepentingan pekebun kecil getah serta pembangunan industri getah keseluruhan dengan mempermudah dan memperkasa penoreh getah melalui program dan dana dari kerajaan.

LIGS harus memberi tumpuan kepada penyediaan harga yang terbaik untuk hasil para penoreh getah dan bukannya meraih keuntungan.

LIGS perlu telus dan bertanggungjawab dan menerangkan bagaimana harga untuk penoreh getah dirumuskan.

Jika keuntungan RM100 juta ini tidak terhasil dari para penoreh getah di Sabah, dari mana ianya datang?

Rakyat Sabah, terutama penoreh getah berhak untuk mengetahui bagaimana sebenarnya LIGS beroperasi.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah
ADUN Likas
Junz Wong

No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...