Monday 29 May 2017

Kaamatan Warisan Kita

Hargai warisan seni etnik demi kemajuan negeri

kata Datuk Peter Anthony



Datuk Peter Anthony melancarkan buku biografi seni Ambrose Mudi
ETNIK Sabah khususnya kalangan masyarakat Kadazandusun Murut sinonim dengan seni suara. Di mana-mana kita temui mereka, boleh dikatakan lebih 90 peratus di kalangan mereka pandai menyanyi.
Justeru, generasi kita haruslah menghargai sejarah seni berbilang etnik di negeri ini. Dengan menghargai perjuangan seni kalangan seniman terdahulu, kita berharap generasi baru memahami latar belakang seni warisan mereka.
Melalui pemahaman pelbagai usaha yang telah dirintis seniman terdahulu, kita berharap kesenian di negeri ini dapat menyumbang kepada perkembangan peningkatan sumber manusia dan pembangunan ekonomi negeri ini.
Demikian antara lain petikan ucapan Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony ketika melancarkan buku biografi ‘Ambrose Mudi: Pelopor Seni Muzik dan Seni Suara Etnik Sabah’.
Pelancaran 29 April 2017 itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengisian sempena Kaamatan Piolungan: Pamilaan, Ulu Tipoh dan Pangalat Tenom di Homestay Piolungan Wasai.

 Datuk Peter Anthony bersama sebahagian tetamu Kaamatan Piolungan 2017 anjuran KDM Malaysia
Turut hadir, tiga anak Ambrose Mudi terdiri daripada Allen Max, Kandawai, Sunsulit dan adik-beradik serta isteri mendiang.
Buku 94 halaman yang dihasilkan penulis itu mengisahkan perjalanan seni selama hayat Ambrose Mudi yang bermula sejak kecil sehingga akhir hayat. Buku itu mengandungi 29 bab dengan memuatkan pelbagai gambar mendiang dalam aksi seniman, guru, tokoh muzik dan penyanyi yang unggul.
Buku itu dengan penuh yakin memberi kesimpulan bahawa Ambrose Mudi merupakan pelopor pembangunan seni muzik dan seni suara di kalangan masyarakat Kadazandusun dan etnik-etnik lain di Sabah.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kepada legasi kesenian Ambrose Mudi. Bahawa melalui tunjuk ajar Ambrose, lahir John Gaisah (Datuk) sebagai seniman tersohor Sabah yang kemudian berkerjaya sepenuh masa sebagai penyanyi.
Kajian dan bimbingan Ambrose mengenai seni muzik tradisional berasaskan bambu memperoleh pelbagai pengiktirafan di dalam negeri dan persidangan antarabangsa. Hasil seni irama suling berita keluarga yang dihasilkan dari bimbingan Ambrose masih kekal dalam khazanah radio sehingga kini.
Inisiatif Ambrose memperkenalkan ‘Bintang Kaamatan’ masih gah sehingga saat ini dengan nama ‘Sugandoi Kaamatan’.
Ambrose juga adalah tokohnya yang telah memasukkan pelbagai elemen muzik tradisi etnik Sabah dalam kurikulum pendidikan seni muzik di sekolah-sekolah di Malaysia.
ALLEN Ambrose Mudi menyampaikan naskah buku kepada Peter (kiri)
Malahan lagu-lagu ciptaan Ambrose seperti ‘Nung Noilaan Ku’ telah dinyanyikan begitu ramai penyanyi solo dan berkumpulan yang kemudian berjaya mengangkat populariti kalangan penyanyi itu.
Ketika memberikan sambutan mengenai buku itu, Allen Max menjelaskan dirinya dalam usia menjelang 30 tahun sekarang amat rapat dengan mendiang ketika hayat ayah mereka.
“Meski saya belum dilahirkan ketika mendiang bapa kami berada di puncak popular, malahan ketika bapa mengikuti pengajian muzik di Amerika, namun saya telah bersama bapa selain ibu dan adik-beradik selama saya membesar,” kata Allen Max yang kini bekerja di KupiKupi FM.
Allen merupakan penyanyi kepada lagu ciptaan ayahnya ‘Kopi Tenom Dulu’ yang meraih kejuaraan sempena Pesta Kopi Tenom 2014. Dalam bidang kerjaya, Allen turut menjejaki perjalanan seni ayahnya dengan mengambil pengajian kejuruteraan rakaman.
Turut mengiringi pelancaran itu ialah persembahan nyanyian dari Sunsulit dan penampilan kumpulan sompoton yang diketuai Kandawai.
Terdahulu, ketika mengalu-alukan hadirin, pengerusi penganjur Kaamatan Piolungan, Pairin Cyprian Valentine melahirkan penghargaan kerana pelancaran buku itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aturcara Kaamatan yang dipengerusikannya.
Pairin menyifatkan pelancaran buku itu sebagai sebahagian daripada tuaian di samping hasil tanaman dan ternakan golongan petani.
Pelbagai aktiviti dijalankan sempena Kaamatan Piolungan yang meliputi sukaneka, kesenian, hidangan tradisi dan persembahan pentas. Bersambung ke siri II.
Datuk Peter Anthony tiba untuk merasmikan Kaamatan PDM Pamilaan Tenom



No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...