Thursday 1 June 2017

Jom Warisan, tuntut Labuan balik Sabah!

Warisan tuntut balik Labuan jadi wilayah Sabah

Perbadanan Labuan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Labuan
PENGUMUMAN Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), YB Junz Wong bertanding di kerusi P166 Labuan pada PRU14 adalah tepat. Pengumuman itu menawarkan pilihan terbaik kepada penduduk Labuan. Pilihan itu adalah untuk Labuan kembali semula ke bawah pentadbiran Negeri Sabah.
Warisan boleh meletakkan sasaran menawan kerusi Labuan. Namun Warisan perlu memberi tumpuan kepada beberapa isu. Antaranya isu-isu kegagalan Kerajaan Persekutuan menyempurnakan tanggungjawab kepada Labuan. Di samping itu, berlaku layanan buruk Putrajaya kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengenai cadangan-cadangan pembangunan Labuan.
Warga Labuan akan berada di tempat yang lebih baik daripada sekarang apabila kembali semula ke dalam pentadbiran Negeri Sabah. Warga Labuan bakal menikmati keadaan lebih baik di bawah manifesto Parti Warisan Sabah.
Bahawa Parti Warisan bakal memperkenalkan Kementerian Pelajaran Sabah, pengujudan lebih banyak peluang pekerjaan sektor daratan dan lautan, membuka ruang latihan kemahiran belia Sabah untuk bekerja di pelbagai sektor yang diwujudkan serta menstrukturkan penjanaan sumber Yayasan Sabah. Semua pelan pembangunan itu bakal dilebarkan ke Pulau Labuan.
Kedudukan Labuan dalam Wilayah Persekutuan sudah didebatkan sejak beberapa lama oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Mohd Salleh.
Rumusannya, Harris sendiri kesal menyerahkan Labuan kepada Wilayah Persekutuan. Harris sendiri membayangkan lebih baik Labuan diletakkan semula ke dalam pentadbiran Negeri Sabah.


YB Junz ketika melawat Labuan April 2017

Kejatuhan industri minyak dan gas telah mengakibatkan lebih 10,000 orang kehilangan pekerjaan. Sekali gus bilangan ini mendadak meninggalkan Labuan. Sektor perhotelan, perbankan, otomotif, restoran dan sewaan rumah terjejas teruk oleh keadaan ini.
Pengehadan status bebas cukai Labuan telah mengakibatkan sebahagian besar pelancong dalam negeri menghentikan kunjungan tetap hujung minggu dan percutian mereka ke Labuan. Ini menjadikan Labuan hilang daya tarik yang telah memberi pulangan perniagaan sejak lama dahulu.
Banyak perniagaan di Labuan lingkup. Peniaga Labuan kehilangan pelanggan. Penduduk Labuan kehilangan kuasa beli.
Rozman selaku Ahli Parlimen dan Pengerusi Perbadanan Labuan berbuat sesuatu. Beliau memperkenalkan program pelancongan penerbangan terus dari China ke Labuan. 
Program itu disusun bermula Julai 2016. Namun penerbangan terus ke Labuan tidak diperoleh. Putrajaya tidak bersungguh-sungguh membantu pertumbuhan pelancongan di Labuan. Usaha ini gagal mengembalikan semarak perekonomian Labuan.
Sebelum itu, Rozman dengan sokongan para pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dan dewan-dewan perniagaan di Labuan mengemuka rayuan kepada Putrajaya. Rayuan disampaikan berkali-kali untuk mendesak Putrajaya menghalang pelaksanaan pengehadan status bebas cukai Labuan.
Namun Putrajaya hanya memandang ringan rayuan itu. Pengehadan status bebas cukai dilaksanakan juga. Dasar baru itu telah mengurangkan lebih separuh kehadiran pengunjung tetap berbelanja di Labuan.
Apa lagi yang dapat dibanggakan oleh penduduk Labuan untuk terus berada di bawah kekuasaan Wilayah Persekutuan?
Berada di dalam wilayah pentadbiran Negeri Sabah akan memberi harapan baharu kepada penduduk Labuan. Jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Sabah akan dilebarkan semula ke Labuan.
Kerajaan Negeri Sabah mampu menambah lebih banyak entiti perindustrian di Labuan. Langkah itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Labuan. Langkah itu juga dapat memberi manfaat kepada para pencari kerja dari daerah-daerah bersebelahan.
Kepentingan pelabuhan Labuan dapat ditingkatkan. Peningkatan itu sesuai dengan manifesto Warisan membuka perairan Kudat sebagai pelabuhan entreport penting di Sabah.
Namun demikian, Warisan mempunyai tugas mencabar untuk menarik sokongan pengundi Labuan menerima pakej terbaik yang ditawarkan untuk menghadapi PRU14.
Warisan harus dapat mengenal pasti sasaran memperoleh majoriti dari sejumlah 26,152 pengundi kawasan Parlimen Labuan yang terdaftar sekarang. Jumlah ini melebihi hampir 2,000 pengundi berbanding bilangan pengundi PRU13 yang berjumlah 24,474.
Komposisi pengundi berdasarkan analisis PRU13 meliputi pengundi pos 1500, Melayu 9,604 (39.27%), Cina 5,670 (23.8%), India 353 (1.44%), bumiputera Sabah 7,717 (31.55%), bumiputera Sarawak 424 (1.74%) dan lain-lain 687 (2.8%).
Kalangan pengundi tersebar di 17 Pusat Daerah Mengundi yang merangkumi 27 perkampungan dan perumahan kawasan bandar.
Kampung-kampung itu terdiri daripada Batu Arang, Batu Manikar, Bebuloh, Belukut, Bukit Kalam, Bukit Kuda, Durian Tunjung, Ganggarak, Gersik/Saguking, Kerupang/Nagalang, Kilan Pulau Akar, Lajau, Layang-Layangan, Lubuk Temiang, Pantai, Patau-Patau1, Patau-Patau2, Pohon Batu, Rancha-Rancha, Sg Bangat, Sg Bedaun, Sg Buton, Sg Keling, Sg Labu, Sg Lada, Sg Miri/ Sg Pagar dan Tanjung Aru.
PRU13 memperlihatkan perolehan undi parti-parti bertanding dengan memberi kemenangan kepada Umno-BN yang diwakili Datuk Rozman Isli 12,694, Tan Sri Ibrahim Menudin (PKR) 6,069, Hadnan Mohamad (Pas) 386 dengan majoriti 6,625.
Bilangan keluar mengundi 19377 (79.2%) daripada jumlah pengundi 24,474. Undi rosak 207.
Pertambahan perolehan undi parti pembangkang cenderung bertambah. Pada PRU12, calon Umno-BN Datuk Yusoff Mahal memperoleh 10,471 menewaskan calon Bebas, Lau Seng Kiat yang memperoleh 2,014 dan Matusin Abdul Rahman (Pas) 1,106. Bilangan keluar mengundi ketika itu ialah 12,149 (68.1%) daripada keseluruhan 20,783 pengundi. Undi rosak 311.
Pengundi di kawasan perumahan dan bandar kekal menyumbang sokongan kepada pembangkang termasuk di Pusat Daerah Mengundi calon BN.


Labuan kian sunyi ekoran kejatuhan industri Oil and Gas.

No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...