Monday 12 June 2017

Perkenal Diploma Pendidikan Kadazandusun, gesa Datuk Peter Anthony

Program DPLI Kadazandusun perlu diperkenal ganti IPG Keningau: KDM Malaysia


DATUK PETER ANTHONY
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia diminta memperkenalkan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) bahasa Kadazandusun di mana-mana universiti bagi menampung kekurangan graduan pendidikan bahasa itu berikutan penutupan Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau.
Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata penutupan IPG Keningau turut mengakhiri penawaran pengajian bahasa Kadazandusun di IPG itu sedangkan terdapat banyak sekolah di negeri ini tidak dapat menawarkan subjek berkenaan sebagai pilihan murid disebabkan ketiadaan guru terlatih.
“Pengujudan program pengajian DPLI merupakan jawapan terbaik bagi menambah bilangan guru terlatih bahasa Kadazandusun," kata Datuk Peter.
Menurutnya, terdapat ramai graduan berminat menjadi guru khasnya dalam pengkhususan bahasa Kadazandusun tapi tidak mempunyai ruang untuk berbuat demikian.
Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan kalangan graduan itu perlu ditempatkan di sekolah-sekolah kawasan etnik Kadazandusun bagi memastikan kelangsungan bahasa dan budaya warisan di kalangan penduduk pribumi Sabah.
Sementara itu, Peter turut mengusulkan agar program latihan guru pra-sekolah bahasa-bahasa etnik Sabah diperkenalkan bagi menambah bilangan guru terlatih di pelbagai tadika etnik yang dikendalikan badan-badan etnik berkaitan.
Menurut Peter, pihaknya sudah menyiapkan kertas cadangan mengenai program pelatihan itu untuk dikemukakan kepada kerajaan, baik kerajaan yang ada sekarang mahupun kepada Kementerian Pelajaran Sabah yang bakal diwujudkan mengikut Manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Kita menerima banyak hujah dari pelbagai pihak mengenai kesedihan mereka tentang penutupan IPG Keningau terutama sekali pengakhiran pengajian bahasa Kadazandusun yang baru memasuki tahun kedua pengambilan pelatih,” kata Peter.
Peter memaklumkan pihaknya memiliki maklumat mengenai sekolah-sekolah tadika etnik di Sabah di mana tadika-tadika berkenaan memerlukan tenaga tambahan guru terlatih.
Menurut Peter, terdapat pelbagai tadika etnik di negeri ini antara lain Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, Tenghilan, Tadika Etnik Bajau, Iranun dan Tobilung di Kota Belud, Tadika Kimaragang di Tandek dan Tadika Rungus di Matunggong.
Peter berharap kewujudan tadika-tadika etnik itu dapat diperluaskan lagi ke pelbagai daerah di Sabah seperti di pantai timur dan pedalaman termasuk Tadika Murut di Tenom, Keningau dan Pensiangan.
“Kewujudan pelbagai tadika etnik tidak boleh dibiarkan bergerak sendirian tanpa sokongan dan dukungan kerajaan, apa lagi kalau sokongan itu melibatkan penyediaan guru-guru terlatih, bahan-bahan pengajaran dan pembinaan bangunan,” kata Peter.

Peter yakin, rumusan proposal Warisan mengenai pengujudan Kementerian Pelajaran Sabah sudah mengambil kira keperluan pelatihan guru-guru bahasa Kadazandusun dan guru pra-sekolah pelbagai etnik di Sabah.

No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...