Tuesday 13 June 2017

Warisan tradisi Dayak Jagoi Kalimantan Barat

Jagoi Babang serlah jati diri Dayak lestari warisan tradisi

RUMAH Adat Dayak di puncak bukit.
Oleh HENRY BATING
GAWAI Bidayuh Jagoi di Kabupaten Bengkayang, Kalimantan Barat bukan sekadar kesyukuran hasil tuaian. Gawai di Jagoi Babang bersempadan Sarawak ini merangkumi realisasi falsafah hidup berbangsa, bernegara dan berpedoman kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Festival tradisi Kalimantan, Indonesia itu telah menyerlahkan kepada rombongan dari Brunei, Sabah dan Sarawak tentang makna Gawai kepada masyarakat Dayak di Kalimantan khususnya.
Dr Kristianus Atok bagi pihak urus setia penganjur telah menjadi pengiring utama tetamu dari luar melibatkan Dr Yabit Alas (Brunei), Dr Patricia Ganing dan artis Iban Clemence Joy (Sarawak) serta Dr Rosliah Kiting (Sabah).

DARI kiri Yabit, Clemence, Patricia, Rosliah dan pengiring di Jagoi Babang, Kalimantan Barat.
Perayaan yang berasaskan upacara ritual itu bertujuan untuk memohon kepada Jubata (Tuhan) bagi mengobarkan semangat cinta negeri, menghindari semangat cinta diri, menjauhkan bencana dan memberi damai abadi.
Masyarakat Dayak percaya, Jubata bersemadi di Gunung Bawang (Kalimantan). Melalui upacara itu, masyarakat Dayak diseru berjuang membangun negara dan bersatu meski beraneka budaya.
Perjuangan membangun dan bersatu hendaklah berasaskan prinsip Adil ka Talino, Bacuramin Kasaruga dan Basengat ka Jubata. Prinsip itu bererti adil kepada sesama manusia dan berpedoman terhadap syurga kerana kehidupan itu berasal dari Tuhan.
Festival itu dihadiri kira-kira seribu orang dari pelbagai pelosok Indonesia termasuk tetamu dari Brunei, Sabah dan Sarawak.
Tetamu disambut tarian ‘Salingan Bidingan’ yang dipersembahkan sekumpulan kanak-kanak. Persembahan ini mengisahkan persahabatan alam kanak-kanak yang ada kalanya dilanda perselisihan namun tetap bersahabat dengan akrab.
Tetamu dari Malaysia mengambil jalur perjalanan darat dari Kuching ke Pontianak, Kalimantan Barat. Perjalanan menaiki bas itu mengambil masa sembilan jam.
BALIAN membuat ritual persembahan sajian.
Meski menempuh perjalanan seharian, pengembaraan itu terasa berbaloi kerana pemandangan sepanjang jalan memperlihatkan penempatan penduduk yang memiliki tarikan tersendiri.
Sesampai di Hotel Dangau Pontianak, rombongan disambut urus setia. Perjalanan diteruskan ke Bengkayang dengan menaiki kereta yang kemudian mengambil masa sehingga lima jam.
Seawal 7.00 pagi keesokan harinya, rombongan bertolak dari Bengkayang untuk menyertai sambutan Gawai Bidayuh Jagoi di Jagoi Babang. Perjalanan menaiki kereta khas penganjur mengambil masa tiga jam.
Dalam perjalanan, rombongan singgah di Kantor Kabupaten Jagoi untuk menikmati minuman ringan. Festival itu dirasmikan Bupati Bengkayang, Suryadman Gidot. Dalam ucapan perasmiannya, Suryadman menyeru agar seluruh masyarakat Dayak di pelbagai pelosok bersatu untuk mencapai tujuan demi kebaikan bersama.
Setibanya di lokasi Gawai Bidayuh Jagoi, rombongan disambut pisian (mantera) oleh balian (Bobolian). Rombongan kemudian diiringi mendaki tapak seribu.
Pendakian itu berhenti di pertengahan untuk berehat seketika. Kemudian pendakian diteruskan sehingga mencapai puncak bukit. Di puncak itu rombongan disambut dengan tarian tradisi.

MENITI tapak seribu ke rumah adat.
Rombongan kemudian dipersilakan duduk. Upacara pisian dilakukan untuk memohon kepada Yang Maha Kuasa melindungi pelaksanaan Gawai Bidayuh itu.
Ritual pisian itu juga menyeru nenek moyang yang merupakan tokoh untuk turun melihat sajian yang dipersembahkan ahli-ahli balian. Permohonan itu bertujuan mendapatkan restu adakah sajian itu layak dipersembahkan kepada Yang Maha Kuasa. Sajian itu dibawa melalui persembahan tarian ‘Sigal Taat Sadi’.
Rosliah menyifatkan sambutan itu memaparkan permuafakatan kental masyarakat Dayak untuk membangun kesejahteraan dan meningkatkan daya saing daerah.
“Masyarakat luar dapat melihat betapa masyarakat Dayak prihatin terhadap kepentingan memelihara warisan budaya di samping mengejar kejayaan untuk kelangsungan hidup dalam era globalisasi. Sambutan ini juga dapat mendokumentasikan bahasa dan budaya Dayak untuk warisan generasi mendatang,” katanya.
Patricia mendapati perayaan itu pada keseluruhannya mendedahkan keunikan budaya etnik Dayak Bidayuh Jagoi.
“Usaha ini merupakan langkah terbaik melestarikan warisan budaya. Sebagai generasi Dayak Iban, sambutan ini telah memberi kesedaran untuk saya ikut terlibat memelihara dan mempertahankan khazanah agung bangsa,” katanya.

RITUAL Balian untuk mohon kesejahteraan hidup manusia.

No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...