Monday 12 June 2017

IPG Keningau akhiri pengajian Kadazandusun

IPG Keningau akhiri pengajian bahasa Kadazandusun 2020


KENINGAU: Penutupan Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau bakal menjadi
MUDI DUBING
pengakhiran kepada program pendidikan bahasa Kadazandusun apabila IPG itu ditutup sepenuhnya 2020.
Naib Presiden KDM Malaysia, Mudi Dubing berkata pihaknya difahamkan IPG Keningau sudah membuat dua sesi pengambilan pelatih untuk program itu bagi pengajian empat tahun guru terlatih berijazah major bahasa Kadazandusun.
“Penutupan IPG Keningau dijalankan secara tergesa-gesa dan serta-merta tanpa memberi ruang kepada rakyat khususnya dari kawasan pedalaman untuk menyampaikan buah fikiran bagi sebarang pilihan alternatif lain,” kata Mudi.
Mudi yang juga Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Tulid, Pensiangan yakin pasti ada alternatif lain yang boleh diambil, umpamanya memperkecilkan kapasiti kampus dengan memindahkan sebahagian pengajian yang terdapat di pelbagai IPG di seluruh negara ke IPG lain.
Menurut Mudi, bahasa Kadazandusun mengalami kekurangan guru terlatih di pelbagai sekolah rendah dan menengah di Sabah, belum termasuk memenuhi permintaan sebahagian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur.
“Dengan pengakhiran pengajian pendidikan bahasa Kadazandusun di IPG Keningau, saya menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia memperluaskan lagi penawaran program itu ke IPG Gaya, Kota Kinabalu dan salah satu IPG di kawasan Lembah Klang,” kata Mudi.
Selepas penutupan IPG Keningau, pengajian ijazah pendidikan guru bahasa Kadazandusun hanya ditawarkan di IPG Kent, Tuaran dan pengajian minor pengajaran sekolah menengah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Mudi yang juga lulusan bidang pemasaran dari sebuah universiti di Perth, Australia menegaskan, pada ketika kerajaan menggalakkan pertumbuhan pelancongan, pembangunan kebudayaan dan pelestarian tradisi warisan bangsa, pendidikan bahasa Kadazandusun adalah antara lain pendekatan yang sangat penting untuk dilaksanakan.



No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...