Thursday 15 June 2017

Mamagun rintis Tadika Murut di Melalap

Mamagun rintis kolaborasi prasekolah Murut dengan NGO, Kemas


Oleh HENRY BATING
TENOM: Pertubuhan Mamagun Sabah (Mamagun) sedang menyiapkan kerangka kerja merintis langkah memperkenalkan Tadika Murut di kawasan Melalap
RUDY SULAIMAN
melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Presiden Mamagun, Rudy Sulaiman Mairi berkata selama ini pihaknya telah menjadi rakan pelaksanaan beberapa program berasaskan kanak-kanak bersempena Pesta Kaamatan dan kini tiba masanya merintis institusi pendidikan prasekolah yang turut sama menawarkan pembelajaran bahasa Murut.
“Kita yakin perancangan ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar jika mendapat ruang kolaborasi dengan Kemas untuk dimulakan di sebuah Tadika Kemas terpilih di kawasan Melalap,” kata Rudy.
Rudy menjelaskan, kerangka kerja yang sedang disiapkan pihaknya merangkumi identifikasi lokasi prasekolah, penyusunan kurikulum bahasa Murut prasekolah, penyusunan bahan pembelajaran bahasa Murut prasekolah dan pendedahan bakal guru tentang interaksi belajar bahasa Murut dengan kanak-kanak.
“Kami menjangkakan secepatnya dapat menyiapkan kerangka kerja perintis pengenalan prasekolah bahasa Murut untuk dijadikan asas perbincangan dengan pelbagai pihak khususnya Kemas,” kata Rudy.
Kerangka kerja yang sedang diusahakan Mamagun secara kebetulan selari dengan usul Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony tentang pelatihan guru prasekolah bahasa-bahasa etnik di Sabah.
Ketika memberi reaksi tentang penutupan Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau, Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengusulkan agar program latihan guru prasekolah bahasa-bahasa etnik Sabah diperkenalkan.
Menurut Peter, langkah itu bertujuan untuk menambah bilangan guru terlatih di pelbagai tadika etnik yang dikendalikan badan-badan etnik berkaitan.
“Kita sudah menyiapkan kertas cadangan tentang program pelatihan itu untuk dikemukakan kepada kerajaan, baik kerajaan yang ada sekarang mahupun kepada Kementerian Pelajaran Sabah yang bakal diwujudkan mengikut Manifesto Warisan,” katanya.
Peter memaklumkan pihaknya memiliki maklumat mengenai sekolah-sekolah tadika etnik di Sabah di mana tadika-tadika itu memerlukan tenaga tambahan guru terlatih.
Peter memaklumkan, terdapat pelbagai tadika etnik di negeri ini antara lain Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, Tenghilan, Tadika Etnik Bajau, Iranun dan Tobilung di Kota Belud, Tadika Kimaragang di Tandek dan Tadika Rungus di Matunggong.
Peter berharap kewujudan pelbagai tadika etnik itu dapat diperluaskan lagi ke pelbagai daerah di Sabah seperti di pantai timur dan pedalaman termasuk Tadika Murut di Tenom, Keningau dan Pensiangan.
“Kewujudan pelbagai tadika etnik tidak boleh dibiarkan bergerak sendirian tanpa sokongan dan dukungan kerajaan, apa lagi kalau sokongan itu melibatkan penyediaan guru-guru terlatih, bahan-bahan pengajaran dan pembinaan bangunan,” kata Peter.
Peter yakin, rumusan proposal Warisan mengenai pengujudan Kementerian Pelajaran Sabah sudah mengambil kira keperluan pelatihan guru-guru bahasa Kadazandusun dan guru pra-sekolah pelbagai etnik di Sabah.

RUDY menyampaikan hadiah dalam satu program kanak-kanak.







No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...