Thursday 8 June 2017

Warisan tentang Umno-BN guna jurus '76-85'

Warisan hadapi Umno-BN dari pengalaman Usno, Berjaya, PBS


PENEGASAN Datuk Mohd Nor Mansor selaku Pengerusi Gabungan Parti
MUDI DUBING
Pembangkang Sabah (USA) mengenai kesepakatan yang sudah dicapai empat parti gabungan itu merupakan satu pengukuhan bahawa parti-parti itu akan mengulangi mekanisme politik yang mereka lalui pada PRU13.
Dalam kenyataan terbaru, Mohd Nor menyatakan pihaknya sudah mencapai 80 peratus persetujuan dalam pengagihan kerusi di kalangan Star pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, SAPP pimpinan Datuk Yong Teck Lee, Parti Harapan Sabah (Harapan) pimpinan Datuk Seri Lajim Ukin dan PPRS pimpinan Datu Mohd Arshad Abdul Mualap.
Sambil mengeluh, Mohd Nor menyifatkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai tidak ikhlas dalam usaha bekerjasama dengan sesama parti pembangkang di Sabah.
Bagaimanapun keluhan bernada mempersalahkan Shafie pada hakikatnya merupakan satu pengukuhan terhadap serangan demi serangan Jeffrey ke atas Warisan sebelum ini.
Bekas anggota USA, Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing kini menyepi diri selepas meninggalkan gabungan itu berikutan krisis ‘mendahulukan kepentingan sendiri’ Jeffrey dan Lajim dalam isu MA63, Perkara 20 dan Ketua Pembangkang DUN Sabah.
Dalam suasana menyepi, PCS kelihatan bergerak menstrukturkan diri di samping membuka diri bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.
PCS tidak memburukkan mantan rakan-rakan gabungannya dan tidak juga ‘mengata’ pendirian dan pergerakan Warisan.
Shafie dan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking sejak mula telah membuka ruang kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain dengan syarat parti itu benar-benar bertujuan mahu mewujudkan kerajaan baharu menumbangkang Umno-BN.
Parti Warisan seperti yang sering disentuh Shafie, telah belajar daripada beberapa pilihan raya DUN Sabah yang telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan.
Shafie sering mengambil contoh kekalahan Usno kepada Parti Berjaya (1976-85) adalah kerana sokongan pelbagai kaum; bumiputera Islam, bukan Islam dan Cina. Demikian juga dengan kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke atas Berjaya (1985-94) hasil gabungan perolehan kerusi Usno.
Berdasarkan peristiwa yang dilalui ketua-ketua parti gabungan USA, wujud keraguan adakah Jeffrey, Yong dan Lajim benar-benar mahu menumbangkan Umno-BN dan tidak akan berubah tingkah menyokong kembali Umno-BN selepas mendapat tawaran menarik?
PRU DUN Sabah 1994 adalah saksi kepada pendirian politik mereka.
Adakah benar mereka mahu menyatukan sokongan rakyat pelbagai kaum di Sabah untuk menumbangkan Umno-BN?
Jeffrey dan Yong pada PRU13 hanya mampu meletakkan calon-calon di kebanyakan kawasan Pantai Barat, Utara dan Pedalaman Sabah. Mereka gagal meletakkan calon di banyak kawasan Pantai Timur Sabah.
Hasilnya Jeffrey menang tipis kerusi DUN Bingkor, kalah kerusi Parlimen Keningau menentang abangnya sendiri (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) dan calon-calon partinya yang lain kalah semua. Lebih tragik bagi Yong di mana dia bersama calon-calonnya kalah kikis, malahan ramai yang hilang wang pertaruhan.
Lajim bergayut di bawah PKR ketika itu dan bernasib baik  kekal kerusi Klias dan kalah kerusi Parlimen Beaufort. Arshad hilang wang pertaruhan dalam cubaan pertama partinya bertanding pilihan raya.
Parti Warisan ditubuhkan bersama sekumpulan wakil rakyat yang telah memenangi kerusi masing-masing pada PRU13.
Meski mendapat sambutan menakjubkan di kawasan pantai timur, bahagian utara, pantai barat dan pedalaman Sabah, Parti Warisan masih membuka diri untuk bekerjasama dengan parti-parti lain menumbangkan Umno-BN pada PRU14.
Syaratnya parti yang mahu bekerjasama benar-benar mahu menumbangkan Umno-BN dan benar-benar akan terus menjadi rakan Warisan selepas pilihan raya, walau apa keadaan sekalipun.

MUDI DUBING
Ketua Penyelaras Warisan Tulid, Pensiangan/ Naib Presiden KDM Malaysia

No comments:

Post a Comment

Tutup IPG ganti kolej vokasional tidak bijak, kata Junz Wong

Kenapa beri keutamaan kepada Kolej Vokasional dan korbankan Institut Pendidikan Guru (IPG)? JUNZ, PETER dua Naib Presiden Warisan S...